Wanita sedia jadi perisai
SEBAK... Shahrizat Abdul Jalil ketika berucap di Persidangan Perwakilan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di PWTC, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 20 Okt. – Sesiapa yang mencabuli Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja bersalah di sini undang-undang malah disifatkan sebagai menderhaka kepada ibu sendiri.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan, ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah ‘ibu’ segala undang-undang di negara ini.
“Perlembagaan Persekutuan melindungi hak dan kepentingan semua rakyat iaitu Melayu, Cina, India serta kaum lain. Sebagai pencinta negara serta srikandi berjasa, Wanita UMNO tidak akan membiarkan kemuliaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dicabuli dan dicemari.
‘‘Saya mewakili lebih 1.3 juta ahli Wanita UMNO akan mempertahan dan menjadi perisai serta benteng kepada Perlembagaan Malaysia terutama Perkara 3, Perkara 152 dan Perkara 153 daripada sebarang tentangan dan penghinaan,” katanya dalam ucapan dasar Persidangan Perwakilan Wanita UMNO di sini hari ini.
Tegas Shahrizat, pergerakan itu tidak akan berkompromi dengan tuntutan sesetengah pihak sehingga mencabuli peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan pada masa sama melindungi kepentingan sah kaum lain mengikut perkara sama.
Beliau turut mengajak semua pemimpin dan ahli Wanita UMNO supaya bersedia berkorban demi mempertahankan semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan daripada sebarang tentangan dan penghinaan.
“Janganlah kita mengabadikan diri kepada godaan cauvinisme yang murah. Janganlah sesiapa melampaui Perlembagaan negara mahupun prinsip-prinsip sepakat UMNO-Barisan Nasional (BN). Jangan kita terperangkap dengan politik rakus sesetengah pihak yang akan dan sedang memecahbelahkan rakyat Malaysia mengikut kaum dan agama,” katanya.
Menurutnya, Wanita UMNO juga akan mempertahankan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Sebenarnya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah intipati kepada kejayaan 1Malaysia kerana kepentingan semua kaum diambil kira,” katanya.
Dalam pada itu, suasana persidangan yang sentiasa gamat dengan tepukan gemuruh para perwakilan bertukar ‘irama’ apabila Shahrizat dalam nada sebak menyatakan bahawa seseorang pemimpin itu bukan dipandang mulia kerana pangkat, kuasa dan darjat, tetapi kerana keluhuran dan keperibadiannya.
“Pakaian pemimpin adalah akhlak, pakaian ketua adalah jiwa, pakaian tuai adalah nilai dan pakaian sejati adalah budi.
“Untuk orang lain menghormati orang Melayu, kita mesti membangkitkan semula kemuliaan kaum Melayu yang menjadi pedoman perjuangan zaman dahulu. Tanpa kemuliaan, kita umpama seorang tuan yang penat bekerja meminta orang lain untuk menghormati kita,” katanya.
Shahrizat turut mengajak semua ahli Wanita UMNO menggunakan kekuatan minda, modal intelek serta daya kreativiti dan inovasi untuk bersama-sama mentransformasikan Malaysia menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
0 comments:
Post a Comment