Thursday, December 16, 2010

Syiar vs. Slogan

Tingkat syiar Islam bukan pada slogan semata-mata
MELAKA 15 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha untuk meninggikan syiar Islam dan membangunkan ummah tidak boleh berdasarkan kepada slogan semata-mata.

Perdana Menteri berkata, apakah dengan menggantung slogan yang memaparkan betapa indah bahasanya akan membawa kepada pembangunan ummah hari ini.

"Ada pihak cenderung dengan slogan 'Untuk membangun bersama Islam' dan mereka cenderung juga menggantung kain rentang sepanjang jalan dan sebagainya.

''Tetapi itu merupakan slogan serta kata-kata yang digantung pada pagar dan pokok.

''Tentu sekali, bagi kita yang boleh berfikir secara rasional tanpa perasaan emosi, bahawa itu tidak akan membawa kepada perubahan kepada umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Masjid Sayyidina Ali, Bukit Katil di sini hari ini.

Masjid berharga RM6 juta siap dibina April lalu dan boleh memuatkan 2,500 jemaah juga dikenali sebagai Masjid Daerah Melaka Tengah.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhammad, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Omar Kaseh dan Mufti Negeri Melaka, Datuk Rashid Redza Mohd. Salleh.

Perdana Menteri berkata, perubahan kepada umat Islam akan hanya menjadi kenyataan kalau pengisiannya itu dapat diperjuangkan oleh kita sendiri.

Beliau menambah, kerajaan hari ini telah melakukan pelbagai usaha untuk meninggikan syiar Islam dan membangunkan ummah bagi umat Islam menjalani ibadah dengan lebih selesa.

Najib berkata, pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dengan perbelanjaan berjuta-juta ringgit setiap tahun antaranya ialah membina masjid dan surau, menambah elaun imam dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

''Alhamdulillah, apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan hari ini adalah untuk mengisi keperluan kerohanian umat Islam," ujarnya.

Mengenai peranan masjid di negara ini, Perdana Menteri berkata, umat Islam mampu menjalani ibadat dengan lebih selesa dan selamat, jauh lebih baik berbanding daripada beberapa negara lain di dunia ini.

Najib berkata, pembinaan begitu banyak masjid di seluruh Melaka merupakan antara nikmat pembangunan yang dibawakan kerajaan ketika ini yang sentiasa prihatin dengan segala kehendak dan aspirasi rakyat.

Katanya, dalam memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum kekal terpelihara, kerajaan juga tidak lupa membangunkan rumah ibadat bagi kaum lain meliputi kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, kemudahah kesihatan dan pendidikan.

"Semua infrastruktur sokongan ini dibina bagi memenuhi keperluan semasa demi menjamin tahap kehidupan yang lebih baik dan berkualiti kepada rakyat," katanya.

1 comments:

NilzaSaza said...

Siapa boleh terang maksud 'syiar' Islam?